Kegemilangan operasi Kapal_korek_di_Malaysia

Banyak sejarah tercipta diperingkat antarabangsa yang melibatkan penggunaan kapal korek di Malaysia, sebuah negara yang pernah suatu ketika menjadi negara pengeluar timah terbesar dunia.

Negeri Perak merupakan negeri yang menyaksikan paling banyak kapal korek pernah beroperasi. Apabila Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) berjaya mengambilalih London Tin Corporation Limited yang memiliki banyak anak syarikat perlombongan di Malaysia, lalu tertubuhlah firma Malaysian Mining Corporation (MMC) hingga pada suatu ketika pernah menjadi firma yang memiliki paling banyak dan pengoperasi kapal korek yang terbesar di Malaysia dan juga dunia.[12]

Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengoperasikan kapal korek bijih timah terbanyak didunia. Ketika tahun 1914, hanya terdapat tiga buah kapal korek sahaja dan dalam tahun 1915 pula sebanyak 11; menjelang tahun 1920 jumlahnya bertambah menjadi 20 dan menjelang tahun 1921 meningkat kepada 30 buah. Jumlah terbesar kapal korek yang pernah menjalankan operasinya serentak dalam satu masa ialah dalam tahun 1929 apabila terdapat sebanyak 105 buah kapal korek dan tidak ada satupun yang tidak beroperasi. Bagaimanapun, terdapat 123 buah kapal korek di Malaya dalam tahun 1940. Ini merupakan jumlah kapal korek yang paling besar pernah dicatatkan di negara ini namun dari jumlah itu, 19 daripadanya dalam tidak menjalankan operasi pada tahun tersebut.[1]

Menjelang akhir tahun 1981, bagaimanapun hanya terdapat 60 unit kapal korek sahaja di Malaysia dan kesemuanya beroperasi manakala dua lagi sedang dibina. Kebanyakkannya adalah milik syarikat-syarikat yang bernaung dibawah MMC atau syarikat usahasama yang diuruskan oleh MMC. Pada akhir 1983 pula iaitu ketika kejatuhan harga timah, daripada 62 buah kapal korek pada ketika itu hanya 38 unit sahaja beroperasi. Menjelang tahun 1989, hanya 21 buah kapal korek yang masih beroperasi dan jumlah itu menurun menjadi hanya 10 buah yang masih beroperasi pada akhir tahun 1992.[13]

Penggalian Paling Dalam

Ayer Hitam No 2 Dredge (AHT No.2) milik Ayer Hitam Tin Dredging Malaysia Berhad yang beroperasi dekat Ayer Hitam Puchong, Selangor adalah merupakan kapal korek yang telah diisytiharkan dan diiktiraf oleh Guinness Book of records sebagai kapal korek yang paling produktif di dunia hingga kini. Di dalam bulan November 1976, hanya dalam masa 30hari, sebanyak 801.26 tan bijih timah berjaya dilombong oleh kapal korek berkenaan.[14]Kapal korek AHT No.2 itu juga mencipta rekod tersendiri apabila memegang rekod sebagai kapal korek bijih timah yang mencapai penggalian paling dalam hingga mencecah 247 kaki di bawah paras permukaan bumi yang mengandungi konsentrasi timah gred yang tinggi [15] iaitu setelah paras air lombong disurutkan sebelum musim tengkujuh menggunakan mesin pam air.

  • Pre-stripping

AHT No.2 pada sebelumnya iaitu pada pertengahan 70an telah dimodifikasi oleh Ayer Hitam Tin Dredging untuk menggunakan kaedah 'Pre-stripping'. Kaedah Pre-stripping dibangunkan sendiri oleh Ayer Hitam Tin Dredging, digandingkan pula dengan menambah teknik pengubahsuaian yang merendahkan paras air pada paddock kapal korek. Ini membolehkan AHT No.2 untuk mengeksploitasi rizab yang kaya di kedalaman bumi sehingga mencecah 167 kaki berbanding keupayaan penggalian maksimum asal AHT No.2 hanya 70 kaki.[16]

Dengan pengubahsuaian ini, kapal korek AHT No.2 menjadi kapal korek yang mampu mengorek bijih terdalam di dunia (167 kaki) menewaskan kapal korek Selangor D2 dan Sri Dengkil yang mempunyai saiz yg lebih besar dengan keupayaan penggalian sedalam 150 kaki.

Kapal korek ke 7 (Kapal 7) milik Berjuntai Tin Dredging Berhad.

Pengeluar Terbesar

Syarikat Berjuntai Tin Dredging Berhad adalah merupakan syarikat pengeluar timah terbesar di Malaysia. Syarikat itu juga merupakan syarikat perlombongan yang terbesar pernah beroperasi[3] kerana memiliki dan mengoperasikan sehingga 9 buah kapal korek dalam suatu masa bagi melombong bijih disekitar Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya). Berjuntai Tin Dredging Bhd adalah syarikat pengeluar tunggal kasiterit terbesar di Malaysia dan menyumbang 5% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran timah negara.[17] Malaysia Mining Corporation (MMC) pernah memiliki sehingga 28.6% kepentingan dalam Berjuntai Tin Dredging Berhad (kini dilupus).

Pada bulan Mac 1999, MMC melalui Berjuntai Tin Dredging Berhad telah mengaktifkan semula kapal korek terakhir Berjuntai Tin Dredging iaitu kapal korek nombor 3 (yang masih belum dijual) di Batang Berjuntai bagi melombong semula rizab timah melalui pajakan perlombongan sebelum ini seperti termaktub dalam kontrak perjanjian bersama Kerajaan Negeri yang telah ditandatangani pada pertengahan 80an yang akan tamat pada 2001. Sebanyak 98.37 metrik tan padu bijih timah telah berjaya dilombong dari Mac melalui laporan tahun berakhir 31 Januari 2000[7], manakala sebanyak 117.01 metrik tan pula pada tahun berakhir 31 Januari 2001.

Operasi kapal korek berkenaan ditutup pada Januari 2001 untuk pemeriksaan dan pembaikan menyeluruh. Kontrak singkat melombong baru selepas itu dimetrai antara Kerajaan Selangor dan Berjuntai Tin Dredging Berhad seluas 36.42 hektar bagi diusahakan oleh kapal korek nombor 3 yang akan berakhir pada tahun 2004. Operasi disambung semula pada bulan Julai 2001. Walau bagaimanapun, operasi kapal korek berkenaan telah digantung semula pada November 2001 ekoran harga timah yang rendah.

Operasinya tidak pernah disambung semula selepas itu. Pengeluaran timah padu oleh kapal korek berkenaan bagi tahun berakhir 30 April 2002 adalah sebanyak 20.19 tan metrik sahaja. Atas faktor-faktor yang dinyatakan diatas, syarikat itu memilih untuk meninggalkan terus sektor perlombongan. Kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging dan yang terakhir di Batang Berjuntai itu akhirnya telah dijual pada pertengahan 2002.[6] [18]

Saiz Dan Keupayaan Unggul

Ada beberapa skala kapal korek yang digunakan pada masa kegemilangan pelombongan timah di Malaysia. Malaysia mencipta sejarah sendiri apabila terdapat beberapa buah kapal korek yang terbesar di dunia pernah dibina di dalam negara. Pada mulanya pembinaan kapal korek bersaiz besar banyak tertumpu di kawasan Batu Gajah dan sekitar. Kapal korek yang paling besar di dunia ketika itu dikenali dengan Kapal 1. Ia hanya digunakan di beberapa lombong bijih di Tanjung Tualang, Negeri Perak. Ia lengkap dengan beberapa kemudahan seperti bilik rehat, dewan makan, surau, bilik mesyuarat dan bilik kawalan mutu. Ada juga kapal korek yang kecil sedikit di situ iaitu Kapal 3 dan Kapal 5.

Pada sekitar tahun 60an, kawasan perlombongan bijih timah baru telah dibuka di sekitar kawasan hutan simpan berpaya meliputi hingga beberapa buah estet di Dengkil, Labohan Dagang dan kawasan sekitarnya yang disebut sebagai Kuala Langat Tin Field. Kawasan ini terkenal kerana kaya dengan bijih timah tetapi bertabur dalam kawasan yang luas manakala bijih timah terletak jauh di kedalaman bumi serta sesetengahnya dilapisi pula diatasnya oleh batuan-batuan keras yang memerlukan bantuan jentera berat sebelum kapal korek boleh dibina/beroperasi seperti mana yang dialami oleh Kuala Langat Mining Sdn Bhd. [19][20]

Selangor Dredging Berhad merupakan syarikat pertama yang membina kapal korek di kawasan berkenaan iaitu kapal korek pertamanya; Selangor D1 (SD1) pada tahun 1966. Kapal korek itu diiktiraf sebagai kapal korek yang terbesar ketika itu dengan berat 4700 tan dengan keupayaan penggalian paling dalam iaitu mencecah kedalaman 140 kaki kedasar bumi dari paras permukaan air.[21]

Tidak jauh dari lokasi SD1, Petaling Tin Berhad pula pada tahun 1970 membina kapal korek Petaling D7 dan merampas gelaran sebagai kapal korek terbesar dengan berat mencecah 6000 tan.[22]

Kapal korek Sri Timah yang lebih ringan tapi memiliki saiz yang lebih besar dan mampu menggali hingga kedalaman 147 kaki pula dibina dalam awal 70an dan mengambil alih status sebagai kapal korek terbesar di dunia.[23]

Pada tahun 1973, Selangor Dredging Berhad mentauliahkan kapal korek kedua miliknya; Selangor D2 (SD2) yang ketika ia ditauliahkan merupakan kapal korek terbesar serta termaju di dunia dari segi teknologi. Dengan berat 5780 tan, kapal korek ini dibina untuk mampu mengorek sehingga kedalaman 150 kaki dan yang pertama di dunia yang mampu mengorek untuk merawat bijih dengan kelajuan 36 buah baket seminit menjadikan keupayaan kapasiti pengeluaran 7.9 M3/setahun melebihi keupayaan mana-mana kapal korek yang ada di dunia.[24]

Hanya selang beberapa tahun kemudian, status kapal korek terbesar dunia diambil alih pula oleh kapal korek Sri Dengkil yang ditauliahkan dengan berat 6650 tan.[25] Walaupun mampu mengorek pada kedalaman 150 kaki dan memiliki kelajuan mengorek 36 buah baket seminit, namun Sri Dengkil hanya memiliki keupayaan kapasiti pengeluaran 7.3 M3/setahun sahaja berbanding kapal korek kedua milik Selangor Dredging Berhad.

Kapal korek terakhir yang dibina di Negeri Perak adalah kapal korek Sri Dermawan milik Timah Dermawan Sdn Bhd. Pembinaannya dimulakan pada awal tahun 1980. Kapal korek ini mampu menggali sehingga kedalaman 130 kaki dan diiktiraf sebagai antara salah satu kapal korek terbesar di dunia.[26] MMC telah melupuskan kapal korek ini dari pegangan asetnya pada bulan Mac 2001.

Yang terakhir paling besar pernah dibina di kawasan Kuala Langat Tin Field adalah kapal korek milik Kuala Langat Mining Sdn Bhd yang siap dibina pada tahun 1985. Pembiayaan dibuat oleh beberapa buah bank tempatan dengan tempoh bayaran pinjaman adalah selama lapan tahun. Akibat kejatuhan harga timah, kapal korek termahal dalam sejarah perlombongan negara itu hanya mula beroperasi pada 1987. Walaupun syarikat itu pada awalnya merancang untuk membina dua buah kapal korek bersaiz besar dengan keupayaan penggalian sedalam 200 - 250 kaki, tetapi kelembapan harga timah menyebabkan hanya satu yang berjaya dibina. Tambah malang belum pun sempat kapal korek berkenaan mendapatkan pulangan modal yang diharapkan oleh pihak syarikat, kejatuhan teruk pasaran timah menyebabkan kapal korek berkenaan beroperasi dengan singkat sebelum terpaksa dihentikan pada tahun 1993 dan dijual.

Rujukan

WikiPedia: Kapal_korek_di_Malaysia http://cdn1.i3investor.com/my/files/dfgs88n/2000/0... http://malaysianminerals.com/savethedredge.pdf http://www.rakyatpos.com/kapal-keruk-koba-tin-terg... http://digicoll.library.wisc.edu/cgi-bin/EcoNatRes... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://www.ocie.com.my/Clients/ociecommy/dredge-cp... http://www.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid=...